Thursday, February 11, 2010

IKBN Kenal Pasti Lokasi Permotoran

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah mengenal pasti lokasi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) khusus untuk melatih golongan belia dalam sukan permotoran.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, pembinaannya di satu lokasi berdekatan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dijangka mampu menjadi penggerak kepada industri sukan berkenaan di negara ini.

Katanya, industri sukan permotoran di Asia diunjurkan akan berkembang pesat dan Malaysia perlu menjadi antara yang terawal mengambil peluang menjana keuntungan daripadanya.

"Kita mempunyai kemudahan litar bertaraf antarabangsa. Bagaimanapun, penyediaan tenaga kerja mahir dan separuh mahir untuk menyokong industri sukan permotoran itu belum memuaskan.

"Kita berharap dengan wujudnya IKBN khusus dalam bidang itu akan membolehkan para belia dilatih menguasai teknologi terkini dan mereka boleh menjadi pasukan penyelenggara yang hebat untuk sukan permotoran.

"Malah, dengan langkah ini juga negara menjadi tumpuan di kalangan pelabur untuk memajukan lagi sukan bermotor pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan gelanggang futsal peringkat Parlimen Merbok di Kampung Pokok Machang, Bukit Selambau, dekat sini hari ini.

Hadir sama ialah Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim dan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain.

Menurut Ahmad Shabery, bagi membolehkan matlamat tersebut dicapai, pihaknya akan mengemukakan pelan lengkap dalam tempoh terdekat.

"Satu kertas kerja juga akan disediakan kepada Perbendaharaan bagi membolehkan kita mendapat peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10)," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, KBS berjaya menyiapkan 80 peratus daripada 1,200 gelanggang rakyat di seluruh negara dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Katanya, baki 20 peratus atau 240 lagi gelanggang kini dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun ini.

Mengenai pengendalian gelanggang yang dibina dengan harga RM125,000 setiap satu itu, beliau berkata, kerajaan mahu ia diuruskan secara sistematik untuk manfaat umum.

"Perlu ada satu jawatankuasa khas yang menguruskan gelanggang sukan ini. Para penggunanya wajar dikenakan kadar bayaran berpatutan," jelasnya.

sumber : Utusan.